> haizzz...

Kuala Lumpur 6 Mac - Penyanyi popular, Siti Nurhaliza hari ini mengakui hatinya sudah dimiliki. "Memang sekarang Siti berkawan dengan seseorang. Siti tidak mahu orang cakap Siti menipu atau berbohong,'' katanya. Ia adalah pengakuan pertama Siti, 26, setelah kisah percintaannya dikaitkan dengan seorang ahli korporat, Datuk Khalid Mohd. Jiwa yang juga dikenali sebagai Datuk K.
Penyanyi pujaan ramai itu berkata demikian pada majlis Bersarapan Bersama Bintang-Bintang anjuran Star Movie, Astro, di Hotel Ritz Carlton di sini hari ini.
Malah, kata Siti beliau berharap semua pihak memahami siapakah gerangan orang tersayang yang dimaksudkannya.
Bagaimanapun, buat masa ini, Siti memberitahu, dia belum bersedia mendedahkan siapakah gerangan jejaka yang berjaya menawan hatinya itu.
Mengakui dirinya kini semakin matang, Siti ternyata semakin terbuka membicarakan tentang cinta.
Siti sekarang dah cukup matang dan dewasa. Jadi Siti rasa tak salah Siti memperkatakannya kerana Siti tahu peminat di luar sana ingin mengetahuinya.
"Manusia biasalah apabila semakin dewasa perasaan sayang menyayangi dan cinta memang ada. Itu tak dapat lari daripada kehidupan sebenar kita,'' kata Siti.
Siti juga berkata, dia akan mengumumkan tentang perkahwinannya apabila tiba waktu kelak.
"Jangan risau Siti akan beritahu semua orang jika sampai masanya. Siti tak boleh beritahu sekarang semata-mata untuk puaskan hati semua orang."
"Orang nak berteka-teki atau anggap apa saja terpulang kepada mereka, tunggu sahaja kerana sampai waktunya Siti akan mengumumkan segalanya,'' katanya.
Program tersebut diadakan sempena Anugerah Academy ke-78 di samping ulang tahun Astro ke-10.
Dalam pada itu, Siti turut menafikan tentang gosip perkahwinannya yang dikatakan akan diadakan dalam masa terdekat ini.
"Gosip tersebut tidak benar sama sekali. Siti belum terfikir lagi akan kahwin dalam masa terdekat ini,'' kata Siti lagi.
Sambil menyifatkan segala gosip suka dan duka yang hadir di dalam dirinya sebagai satu cabaran hidup, Siti memberitahu perkara tersebut membuatkannya lebih tabah dan kuat.
Seramai 18 penghibur hadir memeriahkan majlis tersebut bersama-sama 60 pelanggan bertuah Astro, menonton Anugerah Academy secara langsung.
Antara yang hadir ialah Nana AF1, Misha Omar, Azizan Nin, Ashraf Sinclair dan Zahid AF2